Sabtu, 9 Mac 2013

Budak-budak Underground 1

 Aku memang minat muzik, tapi malangnya kerjaya aku sebagai ahli fizik nuklear tidak membolehkan aku untuk meluangkan masa dengan muzik. Sikit-sikit bolehlah, sekadar layan iTunes, melayari Facebook sambil melihat gambar-gambar dan memuat-turun lagu dari Soulseek.

 Kalau aku, dulu memang aku suka menghabiskan masa di gig. Sekarang dah kurang, maklumlah sindrom carpal tunnel aku akibat terlalu kuat sangat bekerja membuatkan aku lebih selesa melepak di rumah ketika hujung minggu atau cuti. Lagipun aku lebih senang meluangkan masa dengan teman wanita, mana tahu dia bawakan lagi pasta dengan kentang berherba masakannya...hahaha..

Tapi aku memang suka pergi gig. Bukan untuk menonton band yang sedang beraksi, tapi untuk melihat telatah manusia. Manusia underground, walaupun istilah underground sekarang adalah paradoks yang semakin menggelikan hati. Apa yang underground sekarang? . Jadi untuk hari ini, secara ringkas aku persembahkan tafsiran kelompok-kelompok budak underground. Tafsiran am saje ye..

1. Mat Indie versi Hipster/Scenester.
'Indie' asalnya adalah singkatan independent, atau 'merdeka', di sini bermaksud band-band atau pemuzik yang bebas dari jajahan syarikat rakaman gergasi. Sekarang dah lain maksudnya. Mungkin Indiana Jones.
Ciri-ciri utama :
• contoh band tempatan kegemaran : Hujan, Bittersweet.(tapi aku minat Bittersweet sebab musiknya lebih "auuuwww" dari band yang lain)

2. Mat Indie Aktivis/Penganjur.
Mereka ini asalnya dari #1, tapi disebabkan tersedar dan tersentak, mengambil usaha pro-aktif untuk 'memberi' lebih dari 'menerima' dari scene. Scene di sini bermaksud arena bawah tanah lah.
Ciri-ciri utama :
• penganjur gig. Biasanya gig yang tak cukup amp gitar dan tiada bayaran untuk band. Menggunakan Myspace untuk menghantar spam berupa flyer gig. Kadang-kala flyer yang ala kadar, tapi semenjak dua menjak ini ramai penganjur yang menghabiskan masa lebih untuk mencantikkkan flyer dari memikirkan masalah logistik penganjuran gig sendiri. Menganjurkan gig semata-mata untuk usha awek.
• tak suka berpakaian Topman, tapi sebaliknya gemar mengenakan pakaian keluaran label-label streetwear tempatan. Sekarang ni memang banyak. PopMalaya lah, Kurasaraksasa lah. Bertimbun. Jeans vintage hasil penyelidikan terperinci sehari di kedai bundle Orlama.
• tak minum arak dan tidak mengamalkan seks bebas sebab haram.
• tak kenal band selain yang keluar di MTV, Channel V, hitz.tv dan blog ini.
• klimaks tahunan ialah Rock The World sebab ramai awek.
• contoh band tempatan kegemaran : Pop Shuvit, OAG.

 3. Punk Asli Bertampal.
• berpakaian hitam, biasanya penuh ditampal dengan patches band-band crust punk. Punk untuk mereka bukan Sex Pistols, tapi Crass, Disrupt (juga semua band yang mempunyai nama bermula dengan 'Dis') dan juga band crust-grind dan fastcore seperti Drop Dead, What Happens Next dan yang sewaktu dengannya. Sila Google sendiri. Kasut, topi, beg galas, semuanya hitam dan bertampal walaupun tak berlubang.
• suka makan percuma di Food Not Bombs.
• tak suka muat-turun lagu dari Internet, sebaliknya suka membeli kaset dan rekod 7 inci. CD tak main. Kulit luar kaset/rekod biasanya ada dua warna, hitam dan putih, atau merah dan hitam, atau hitam dan putih lagi.
• walaupun punk tapi suka mandi sebab di sini senang berpeluh.
• pantang disebut perkataan 'Rock The World'.
• contoh band tempatan kegemaran : Carburetor Dung.

4. Punk/Emo Tak Asli versi Rock The World.
• berpakaian hitam seperti #3 di atas juga tapi kemas, rapi dan terjaga. Suka mengenakan produk rambut
• peminat Good Charlotte, Sum 41, One Buck Short dan semua band punk MTV yang sewaktu. Yang tua sikit akan mengaku peminat fanatik Green Day atau Offspring. Yang versi emo peminat setia Funeral For A Friend, Taking Back Sunday dan AFI.
• suka menghabiskan waktu di forum Jamtank.com
• suka mandi seperti #3, tapi ditambah minyak wangi.
• suka panggil Ampang sebagai 'Ampunk'.
• klimaks tahunan ialah persembahan One Buck Short di Rock The World.
• contoh band tempatan kegemaran : One Buck Short, Frequency Cannon.

5. Mat Metal Asli
• juga berpakaian hitam, tapi berambut panjang. Jarang ada aksesori di badan, kalau ada pun cincin bertengkorak dan rantai beg duit.
• peminat Sodom, Kreator, Slayer, King Diamond. DVD kegemaran = Metal: A Headbangers Journey. Band paling dibenci = Metallica sebab ada bekas pemain tenis dan pemusnah Napster. Secara amnya band yang paling kurang bergambar (atau lagi tua) lebih diminati.
• paling marah bila dituduh Black Metal versi Harian Metro. Tak pernah pegang kambing hitam.
• pembaca setia majalah Kerrang, Metal Edge. Bukan pembeli setia.
• berdiri di barisan depan sekali ketika konsert Napalm Death tempohari.
• contoh band tempatan kegemaran : Silkhannaz, Silent Death.

6. Mat Metal Moden.
• senang sahaja nak bezakan yang ini dengan #5. Golongan ini suka berseluar pendek yang longgar.
• peminat Trivium, Damageplan dan Lamb Of God setelah bosan mendengar Korn, Slayer dan Slipknot. Band yang lagi laju lagi bagus. Tapi tak boleh laju sangat sampai jadi grind atau noisecore.
• kalau pemain gitar akan ada dua gitar berbucu tajam (satu gitar bertali enam, satu gitar bertali tujuh) dan amp gitar berkuasa tinggi (1ooW) hasil penat lelah mengajar di kelas gitar untuk kanak-kanak di kedai gitar. Tapi tiada band dan main gitar dalam bilik berseorangan selepas selesai kerja.
• klimaks tahunan melihat Koffin Kanser dan Deja Voodoo Spells beraksi di Rock The World.
• contoh band tempatan kegemaran : Deja Voodoo Spells. Erm.. lain tak tahu.

(New Order sedang berkumandang.)

7. Mat Grunge Ketinggalan.
• peminat setia Encik Kurt Cobain dan album Butterfingers '1.2 Milligrams'.
• panggil kawasan Setiawangsa sebagai 'Seattlewangsa'.
• ada band sendiri, tapi hanya main lagu orang dan bukan lagu sendiri. Kalau lagu sendiri pun akan kedengaran seperti lagu zaman 1995. Sering diundang untuk bermain di gig yang tajuknya bermula dengan perkataan 'Tribute to..."
• gemar Audioslave sebab ada Chris Cornell dari band grunge gergasi Soundgarden, (walaupun lagunya tak sedap), tapi tak suka Rage Against The Machine sebab ada unsur rap, suka Foo Fighters sebab ada Dave Grohl dari Nirvana.
• untuk memodenkan diri agar tidak kolot akan menggelarkan peminat/pemain genre muzik baru dinamakan 'post-grunge'.
• contoh band tempatan kegemaran : Disagree, Butterfingers.

8. Dragon Red
• walaupun ada 5 orang tapi mengalahkan kekecohan Perhimpunan Umno.
• sering mengenakan pakaian Adidas yang dibeli dengan wang kocek sendiri dan kemudiannya mengaku ditaja Adidas. Kalau tak menjadi, buang Adidas, tukar ke Nike semula dan ulang balik langkah tadi.
• hebohkan ke satu Malaysia ketika dijemput untuk bermain di festival muzik mini di kawasan ulu Amerika Syarikat dan kemudiannya senyap bila satu band tidak dapat bermain kerana kegagalan mendapatkan visa ke sana.
• contoh band tempatan kegemaran : Dragon Red.

Aku ingatkan nak cukupkan sampai sepuluh.Korang sume jangan nk serang aku plak...hahaha.. Tapi aku dah tua bangka. Sel-sel otak aku sudah semakin penat. Dan kepala sedang berpinar-pinar. Mungkin nanti aku akan sambungkan ke Budak-budak Underground 2 pulak. Cerita Lain. Masa untuk beristirehat...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan