Jumaat, 8 Mac 2013

Teori Tentang Mindset Kita

Kadang-kala aku sedih, melihat kita (kita di sini bermaksud kaum Melayu, maaf ya untuk pembaca-pembaca aku yang bukan Melayu). Kita yang membuka butang atas baju kemeja seragam kita selepas jam 3 petang, kita yang hanya boleh minum teh tarik dan kopi selepas jam 4 petang, kita yang pandai membina benda-benda yang indah tersergam tapi tak pandai menyelenggara, kita yang mengejar gelaran semata-mata inginkan wang, dan macam-macam benda lagi lah yang kita semua amalkan, atau yang kita tahu sedang diamalkan.


Tapi kita tak endah, atau kita bolehkan saja. Asal boleh. 'Boleh-lah tu', memang ungkapan yang kita dengar tiap-tiap hari.

Kadang-kala aku pun hairan, kenapa jurang antara satu kaum (tak kisah majoriti atau minoriti), di mana-mana negara di atas bumi kita ini jauh berbeza? Mengapa ada bangsa yang memang rajin, atau dikenalpasti sebagai maju, dan kenapa ada yang ketinggalan?

Teori aku mudah sahaja. Faktor geografi.

Cuba fikirkan, kita tinggalkan di sebuah negara tropika, tidak jauh dari garis lintang khatulistiwa, yang berhawa panas sepanjang tahun. Cuaca panas, cuaca santai, malapetaka pun kurang.

Kita berada di tanah yang boleh dikatakan terlindung dari pelbagai malapetaka, dilindungi oleh Indonesia di selatan kita, dan Lautan Cina Selatan pun bukan merupakan lautan dalam yang penuh dengan jurang gelinciran yang bahaya. Dan secara adatnya pun, kita berasal dari golongan petani atau nelayan, golongan yang pada asalnya hidup dengan mengerjakan tanah dan lautan kita.

Kita memang biasa dengan kehidupan santai dan tak perlu bersusah payah jika dibandingkan dengan penduduk negara lain. Kita tak perlu membina semula selepas gempa bumi yang dahsyat, kita tak perlu mencari kayu api ketika salji turun dengan lebat, kita tak perlu larikan diri ketika gunung berapi meletup, kita tak perlu membina semangat selepas negara kalah perang selepas dibom dengan bom nuklear. Paling kuat pun kita ada banjir, tapi kita pun suka banjir, boleh main air (balik kepada teori tandas basah aku), main perahu, dan banyak lagi. Malapetaka, yang jika dibandingkan, tidak seteruk bom nuklear, atau gempa bumi, atau fros.

Tapi ramai orang dalam dunia kita hidup susah. Walaupun ramai yang sebegitu, tapi hanya segolongan kecil yang betul-betul berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka. Mereka ini lah yang benar-benar maju. Mereka yang menukarkan nasib malang mereka, yang mengeksploit nasib yang menimpa mereka untuk dijadikan pemangkin untuk maju ke hadapan.

Bukan mudah, ada yang mengambil beratus malah beribu tahun, tapi ada negara yang mengambil kurang dari 50 tahun untuk mengubah nasib negara mereka. Lihat sahaja Korea dan Jepun, 50 tahun dahulu, apa yang mereka ada? Tiada bijih untuk dilombong, tiada hasil pertanian, tiada apa-apa langsung.

Dan kita di sini bergelimpangan dengan bijih timah dan getah dahulu, dengan petroleum, dengan pelbagai kekayaan bumi.

Apa bezanya mereka dengan kita? Pendidikan. Pertukaran mindset. Pelaburan dalam pendidikan modal insan. Tak perlu berbahasa Inggeris untuk memudah perantaraan. Tak perlu meletakkan Malaysia di peta dunia dengan KLCC atau menarik kapalterbang Boeing dengan gigi. Malaysia memang sudah ada di peta dunia, kita tak akan ke mana-mana.

Mungkin secara logiknya ada orang di Putrajaya sana yang berpendapat disebabkan kita tak perlu banyak bersusah payah dari dahulu (tiada gempa bumi, bom atom dan sebagainya), jadi kita perlukan galakan atau pemangkin seperti semua 'pencapaian berlandaskan hasil kerja orang bukan Malaysia' kita (lihat KLCC, KLIA dan Dr. SMS sebagai contoh) untuk mengilhamkan pergolakan semangat kita untuk maju. Sebenarnya tak perlu itu semua...

It's just your mindset.

Ada di antara kita yang bernasib baik, yang telah diberi peluang untuk mengalami sendiri mindset mereka ini (bagi yang tidak ber'kampung Malaysia' di negara orang lain lah...) dan kadangkala kita kekok bila kita kembali ke negara asal. Bukan sebab apa, mungkin kita sendiri sedar, secara langsung atau tidak, kita telah berubah menjadi manusia yang lebih berkesan atau efficient. Manusia yang lebih rajin, manusia yang pandai menepati masa dan janji, manusia yang berusaha keras.

Tapi masih ada bezanya bagi mereka yang hanya mengutuk kekurangan yang diperhatikan, dan dengan mereka yang mengambil inisiatif untuk mempengaruhi mindset orang di sekitar dengan mindset baru yang mereka pelajari.

Dan selalunya perjuangan untuk menukar mindset orang sekeliling bukan mudah.

"Kau dah bukan Melayu..."

"Kau dah lupa daratan... Lupa asal usul..."

"Ala... kita Melayu, nak buat macam mana?"

Banggakah kamu kalau kita sebegini? Kenapa kamu takut sangat untuk mengatasi herd mentality (mentaliti kelompok?) kamu untuk mendapat peluang maju ke hadapan? Walaupun setapak, tapi setapak maju ke hadapan?

Susah sangat ke untuk membuat sesuatu dengan cara yang lebih efficient berbanding dengan cara lama dan kolot kamu? Menakutkan sangat ke perubahan dan pembaruan untuk kamu?

Kalau kamu sudah pun melakukan perubahan dengan revolusi kecil kamu, aku tabik kamu, dan jangan putus asa. Untuk yang lain, maaf, tapi aku sudah tak benarkan komen secara Anonymous di blog aku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan